Thursday, January 6, 2011 By: Cikgu Zack

Cinta Lama Biarkan Berlalu

Pernah tak terasa dalam hidup kita sentiasa ingat seseorang, ingin mendengar suaranya selalu dan kadangkala terasa dirinya begitu dekat meskipun jauh beribu batu?

Jika ada, itu namanya cinta.

Cinta suatu elemen hidup yang amat misteri dan tersendiri. Ia sentiasa wujud bersama berdenyutnya nadi. Tidak kira apakah seseorang itu sudah berusia ataupun masih teruna / dara, rasa cintanya tetap wujud. Usah sangka orang yang sudah bongkok tiga sudah tidak memiliki cinta. Usah sangka orang yang sudah kerepot sudah tiada cinta. Jauh di dalam cinta terus segar dan mewangi.

Kita sudah dibungkus kebahagiaan, ada kalanya kita masih teringat si dia. Walaupun semuanya itu sudah bertahun berlalu, dia terasa begitu dekat. Kita masih ingat suaranya. Kita masih nampak senyum tawanya. Kita masih terdengar-dengar gurau sendanya.

Rasanya baru semalam berlalu. Tahu-tahu usia kita sudah menghampiri setengah abad. Sudah bertahun rupanya dia pergi meninggalkan kita atau kita yang pergi membawa kejujurannya.

Terkadang kita berasa sunyi dan mahu mendengar kembali semua yang pernah kita dengari dari mulutnya. Kita mahu dia mengulanginya. Namun tidak mungkin, lantaran kita sekarang sudah hidup dalam persekitaran yang kondusif dan eleklusif, tersendiri amat.

Kata orang kita sudah terlalu tua untuk kembali bercinta. Tubuh kita mungkin sudah tidak upaya tapi minda dan harapan kita masih berbunga. Kita mereka-reka andaian itu dan ini. Angan-angan kita menerawang jauh. Imaginasi kita mereka sesuatu. Kita tersenyum dan menangis.

Wahai insan yang pernah bertakhta di hati, di manakah engkau sekarang? Apakah engkau juga sering teringatkanku sebagaimana aku sentiasa teringatkanmu? Kita sering tertanya-tanya, di manakah dia. Kita sering memujuk hati kita supaya menerima hakikat bahawa dia ‘telah tiada’.

Tapi hati kita sukar hendak percaya. Ia terus teringat dan ia terus mereka-reka cerita. Pernah tak kita teringatkan seseorang dan kita amat merinduinya. Kita mahu segera berada di sampingnya. Kita mahu dia mendengari kita? Itulah cinta namanya.

Misteri sungguh perasaan ini. Ia datang dan terus datang tanpa mempedulikan hakikat siapa kita lagi, dan siapa dia sekarang ini. Kita terus teringat dan terus teringat. Kita merindui suaranya, merindui gelak tawanya yang pernah kita simpan jauh di sudut hati kita. Kita ingin sekali mendengar kata-kata cintanya terucap lagi di telinga kita.

Itulah cinta. Ia misteri yang tidak pernah berjaya diberikan jawapan oleh manusia sejak dulu hingga kini. TUHAN menciptakan manusia bersama cinta dan kasih sayang. Bagaimanapun kita cuba menghilangkannya, ia tetap datang dan datang.

Wahai, andainya kita diberi kesempatan untuk mengulangi semua kehidupan, ingin kita lakukan yang terbaik. Namun, itu hanyalah ilusi. Kehidupan yang telah pergi tidak mungkin berulang. Usia yang telah terguna tidak mungkin kembali. Urat telah timbul, kedut-medut di wajah telah jelas, tenaga semakin berkurangan, mata kian kabur, langkah semakin terhenti-henti, tapi hati masih mekar dan segar.

Wahai hati, sedarilah hidup ini pergi bersama sejarahnya. Sejarah yang telah berlalu tidak perlu diulangi. Biarkan ia kekal sebagai sejarah yang boleh dipelajari apa-apa teladan dan pengalaman daripadanya. Besok yang bakal dihadapi lebih perlu untuk dibina bersama besarnya tekad dan tingginya azam. Muncullah sebagai manusia yang gemilang lagi cemerlang.

“Wanita yang solehah adalah wanita yang taat kepada ALLAH.” An-Nisa: 34

Cinta memang sentiasa muda, tidak pernah selari dengan usia yang kian bertambah. Cinta memang sentiasa mekar biarpun dibungkus oleh tubuh yang kian tidak bermaya. Sejarah dulu biarkan berlalu dan jadikanlah cinta yang sedia wujud itu sebagai penununya demi kehidupan lain yang bernama ‘besok’.

0 comments:

Post a Comment