Kata pepatah Melayu, ´kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana (binasa)´. Ia merupakan peringatan bahawa mengucapkan perkataan yang tidak baik boleh mendatangkan bencana kepada diri sendiri mahupun terhadap orang lain. Lidah adalah anugerah Allah kepada manusia untuk berkomunikasi tetapi ia sering disalahgunakan untuk mengeluarkan perkataan yang mendatangkan keburukan seperti menyebar fitnah, dusta dan bermaksud buruk yang membawa niat menjatuhkan maruah orang lain.
Allah berfirman yang bermaksud: “Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua biji mata, lidah dan dua bibir. Dan Kami menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebajikan dan jalan kejahatan).” - Surah al-Balad: 8-10
Justeru, kita mestilah berhati-hati dalam percakapan sehari-harian. Jika dikhuatiri mengeluarkan perkataan tidak baik, lebih baik kita berdiam diri. Ini bagi mengelakkan diri daripada menanggung dosa dan bagi mengelakkan orang lain terasa hati. Jika kita sudah mengeluarkan kata-kata yang tidak disenangi orang lain, tentu sukar untuk kita menariknya balik. Lebih buruk lagi jika orang lain silap mendengarnya. Ini berkait rapat dengan kata-kata ´terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya´.
Satu kesalahan yang paling rapat dengan lidah ialah penyebaran fitnah dan mengadu domba. Fitnah mendatangkan kesan bahaya dalam masyarakat kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dan huru-hara. Allah mengingatkan manusia mengenai buruknya fitnah. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.”
Seolah-olah kita tiada otak untuk merenung dan berfikir secara logik apa yang bakal/telah kita ungkapkan. Allah mencipta kita dengan sebaik-baik kejadian, tetapi masih kita mahu menyakitkan hati orang lain. Walau apapun yang kita ungkapkan, bukankan itu menggambarkan personaliti kita... sehingga boleh disalah tafsirkan.
Mulut yang diberi untuk berzikir, berdoa untuk kebaikan, berkata-kata yang benar dan sahih, namun tidak siapa pun memikirkan apa yang dikatakan, baik atau tidak. Bak kata pepatah lain "Terlajak Perahu Boleh Diundur, Terlajak Kata Buruk Padahnya... Tanpa kita sedari, kita telahkan mencipta musuh sendiri... Kerana akal kita yang tidak cukup peka untuk menzahirkan perasaan orang lain. Manusia dibentuk dengan pelbagai ragam untuk menyeimbangkan kehidupan, namun bukan untuk menaikkan kemarahan, menimbulkan rasa benci "meluat" dalam diri orang lain.
Berwaspadalah. Lidah yang tidak bertulang ini kepunyaan anda. Anda yang memilikinya. Jangan sampai ditarik balik nikmat tersebut. Segeralah meminta maaf kepada yang terkena... kerana doa orang teraninya akan dimakbulkan. Tidak semua manusia maha pengampun. Jika kesalahan dengan Allah, boleh bertaubat, memohon keampunan kerana Allah maha pengampun lagi penyayang.
Allah berfirman: “Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat dan pencela.” (Surah al-Humazah: 1)
Ingatlah! Hanya orang yang berpekerti buruk melahirkan perkataan buruk. Orang cerdik tidak sekali-kali mengeluarkan perkataan buruk yang secara langsung melambangkan keburukan diri sendiri.
Renung-renungkan.
Esok adalah harapan, harapan & harapan...
0 comments:
Post a Comment